Posted on 7:58 PG

Cerpen: Empayar Halimunan

By Zaim Ridhwan (Munshi) a.k.a Kin Fariz di 7:58 PG


Oleh: Munshi, 2006.

Antara langit dan bumi, terletak di antara keduanya, adalah sebuah alur atau ruang yang kosong. Pada hak dan halnya, setiap ruang yang penuh akan sentiasa berdanping dengan sebuah ruang yang kosong.
Bila dilihat pada ruang kosong angkasa dan terangkumnya bumi untuk mengisi ruang kosong itu sehingga ia menjadi penuh. Bukankah setiap sesuatu itu mempunyai pasangannya yang tersendiri yang telah tersedia sejak azalinya dengan kehendak Tuhan, dan pula, setiap sesuatu itu memiliki tujuan dan jua matlamatnya diciptakan. Kotak pemikiran manusia terbatas setakat kemampuannya.
Walau seluas mana ruang lingkup pemikiran manusia itu, ia tetap terbatas dan perbatasan ini tercipta untuk menghadkan sesuatu agar hukum itu tidak dilanggar. Bila perbatasan dan had ini dilanggar, maka segala sesuatu yang berada disebalik perbatasan itu akan tidak terahsia lagi.
Putaran bumi yang dahulunya diketahui berputar ke kanan akan mengalihkan hala tujunya. Langgit yang dahulunya berada di atas, kini sedaya upaya untuk terus jatuh dan berada di bawah, ruang kosong yang sedia wujud selaras dengan kesempitan akan menghilangkan dirinya di antara alur itu.
Sebuah ruang baru tercipta hasil dari penyatuan langit dan bumi yang terhasil atas dasar bahawa perbatasan yang telah tercipta itu dicemari dan tidak terahsia lagi. Kewujudan ini sememangnya wajar dan bertepatan pada pembalasan yang sentiasa diinginkan oleh kita sendiri.
Dari permulaan kewujudan kehidupan kita hingga terlahirnya sebuah perasaan yang ingin memberotak inginkan suatu perubahan yang dramatik. Sesuatu yang ganjil, yang menarik, yang indah. Indah bagi pandangan kita sendiri. Indah bagi segala yang kita fikirkan indah. Indah dan segalanya yang indah bagi pandangan yang sempit ini dan semuanya indah dipadang oleh manusia. Oleh kita. Kita sebagai makhluk yang menganggap kita sempurna dan berhak miliki kebebasan.
Ya, kebebasan. Kebebasan yang abadi. Lepas dari segalanya. Lepas dari kongkongan masa yang sentiasa mengikat manusia untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.
Dari kanan ke kiri ke kanan dan ke kiri. Dari depan ke belakang, ke depan dan ke belakang kembali. Dari bawah ke atas, ke bawah dan ke atas kembali. Segalanya halimunan. Istana, tembok-tembok kota, menara-menara pertahanan, semuanya halimunan.
Masuklah engkau ke dalam kota ku, ini empayar ku. Singkaplah kain mu, kerana aku takut nanti kain mu akan basah terkena air sungai yang mengalir di bawah lantai ku ini. Namun, kain mu tetap juga tidak akan basah, kerana lantai ku, adalah dari batu marmar yang halimunan, lantai yang ditempah khas dari negeri seberang, yang miliki pekerja dari alam seberang.
Maka yang kau lihat di sebelah kanan mu adalah taman buah-buahan yang batang kayunya adalah emas tulin, yang daun-daunnya adalah batu-batu jade yang asli, yang buah-buahnya terdiri dari permata-permata yang jernihnya mengalahi jernih permata-permata lain.
Maka yang kau lihat di sebelah kiri pula adalah ladang-ladang ternakan, yang dipenuhi oleh unta-unta, lembu-lembu, kambing-kambing, ayam-ayam yang insya-Allah, sejuta tahun akan datang tidak juga habis-habis.
Maka jika kau pandang ke hadapan pula adalah sebuah istana yang insya-Allah akan menandingi kota larangan di Cina, yang atapnya, tiangnya, dindingnya, barang-barang di dalamnya, terdiri dari berbagai jenis batu permata, yang datang dari berbagai-bagai jinis negeri.
Maka di belakang mu pula adalah pintu masuk yang Subahanallah besarnya tiada tandingannya di bawah langgit biru ini, yang di kawal oleh jin-jin yang patuh pada pemerintah.
Maka yang kau lihat ke langit itu pula adalah perisai pelinding empayar ku, halimunan, yang insya-Allah, jika digugurkan tujuh ratus lapan puluh juta biji bom atom pun tidak akan dapat mengapa-apakannya.
Hatta, penduduknya penuh sopan-santun dan tertib, yang semuanya menurut perintah dengan taat sekali, yang akan menyuarakan usul mereka dengan tertib dan sopan sekali, yang akan aku dengar biarpun aku dikritik secara terhormat, kerana semua ada hak, kerana semua ada amanah, kerana semuanya manusia, termasuk aku, punyai kesilapan, kerana semua orang ada kekuatan dan kelemahan, termasuk jin-jin yang menjaga pintu itu, termasuk makhluk-mahluk lain yang ada di kerajaan ku ini. Jika kau terpegun akan kota ku ini, yang ku dirikan dari sebuah empayar yang halimunan ini, makan janganlah kau memuji-muji ku, kerana ini bukan milik ku seorang.
Dalam sebuah carta pai, milik ku hanya satu peratus, yang lainnya adalah milik bersama penduduk empayar ku. Jika kau berada di kota ku yang lain pula, yang kesemuanya aku sendiri pun lupa, maka jangan kau sekali-kali memuji-muji ku, kerana bukan semuanya usaha ku.
Hadir ku seperti pengembala kambing, yang menjaga ternakannya dengan penuh kasih sayang, yang menjaga ternakanya dengan penuh tertib dan teratur, yang akan ku pelihara seekor demi seekor dengan harmoni sekali. Percayalah engkau, yang semua ini datangnya dari Ya Ilahi, yang semua ini milik-Nya, yang semua ini adalah kerelaan dan keredaan dari-Nya.
Ya, marilah masuk ke istana ku. Ya memang betul itu singgahsana mu. Aku telah arahkan orang ku, yang terbaik dari yang terbaik, untuk meniru keanggunan dan ke agungan singahsana mu, buat mu duduk beristerihat ketika berada di kota ku ini. Mahkota impian buat mu, wahai saudara-saudara ku. Keindahan halimunan ini, adalah keindahan dari Ilali.
Keberkatan kejiwaan ini, adalah dari keikhlasan yang telah ditunjukkan. Kehadiran sang kerdil, menjadikan kita semua jadi hambar ke atas segala ujian yang telah dikurniakan, ke atas segala nikmat yang telah diberikan.
Maka akan berkata sekalian manusia di suatu ketika yang kita sendiri tidak ketahu akan bila ketika itu, akan bila masa itu, akan bila waktu itu yang aku sendiri tidak ketahui akan di mana aku berada kerana semuanya halimunan, yang segalanya halimunan, yang pada ketika itu, manusia-manusia yang hadir akan berasa hairan, akan berasa takut, akan berasa gembira, akan berasa macam-macam kerana tidak tahu di mana mereka berada pada saat ini, sedangkan mereka telah diberikan akal yang sempurna, dengan segala kepemandaian yang masing-masing telah miliki, yang masing-masing telah pelajari, yang masing-masing telah alami, yang masing-masing akan mengatakan bahawa apa yang aku ketahui ini adalah hasil dari titik peluh ku, hasil dari usaha ku, hasih dari pendidikan ku yang kamu sekalian tiada hak untuk menegur segala kesilapan ku, yang kamu semua tidak mengetahui apa yang aku ketahui, yang kamu sekalian tidak mengenal apa yang aku pelajari, yang aku tidak akan mengajar kamu tentang semuanya, kerana ini adalah hasil dari usaha ku!
Maka, hari itulah nantinya akan meruntuhkan segala kehalimunan empayar ku, kerana pada saat itu, saat yang aku sendiri tidak ketahui, aku sudah tiada lagi, yang pada saat itu, segala peningalan ku akan dibahagi-bahagi, yang pada saat itu ataupun pada ketika itu, aku tidak akan diingat lagi, aku tidak akan dikenali lagi, yang aku tidak akan lagi berada dalam kotak fikiran jelama-jelama yang pernah hidup di bawah naungan empayar ku, yang semuanya akan musnah dan akan kembali ke pangkuan asalnya.
Namun, semuanya bersifat sementara. Biarlah, biarlah apabila saat itu tiba, manusia-manusia itu runtuhkan segala apa yang telah aku bina untuk mereka, kerana aku tidak minta dikenang dan aku tidak minta untuk dipuji-puji mahupun disanjung-sanjung dan yang sewaktu dengannya.
Wahai Putri Balquis yang memerintah tanah seberang, yang memiliki wajah yang tiada tandingan. Ketahuilah bahawa, pemerintahan mu amat sempurna, kerajaan mu maju jayanya, maka katakanlah bahawa semuanya datang dari Allah Ya Rahman, katakanlah bahawa segalanya pemberian Allah Ya Rahim, yang mewujudkan segala keselesaan hidup mu, yang memberikan segalanya kepada mu.
Wahai Putri Balquis yang bijaksana, jangan kau gunakan kecantikan mu untuk mencacatkan empayar halimunan ku, kerana kehalimunan yang ada pada masa ini sangat rindukan belaian mu, sangat dambakan keindahan mu yang aku sudah sekian lama mengalihkan perasaan mereka itu, agar mereka tidak memandang mu walau sesaat pun, kerana kehadiran mu di sini adalah untuk menyaksikan empayar ku, yang aku tidak ketahui sampai bila kewujudannya.
Maka ketahuilah wahai Puteri Balquis bahawa, ufuk waktu yang mendukung langit akan roboh pada bila-bila masa, yang bila kau bayangkan tidak akan dapat dibayangkan sama sekali.
Marilah, marilah bersama ku, untuk menyaksikan lagi apa yang ada dihalaman empayar ku ini. Oh itu, ya, itu adalah taman kanak-kanak, yang aku bina bersama penduduk di sini untuk menjadikan tempat itu sebagai tempat permainan mereka. Mengapa? Kerana mereka adalah kuirniaan suci dari Ilahi, kerana, mereka adalah benih yang bakal tumbuh mengantikan daun-daun yang mula menguning dan kering, yang bakal gugur pada bila-bila masa saja.
Itu? Itu adalah khutub kanah yang tersusun di dalamnya seratus limapuluh juta naskah manuskrip, makalah-makalah, jurnal-jurnal, buku-buku dan segala yang berkaitan dengannya yang akan dibaca oleh sekalian rakyat di seluruh pelusuk empayar ku dan mengapa? Maka fikirkanlah sendiri dengan kepintaran mu, kerana aku sendiri tidak ketahui, tentang apa yang kau fikirkan sendiri, dan sesungguhnya fikiran kita amat berbeza dan kita masing-masing miliki keistimewaan untuk berfikir dan muhasabah diri.
Memang jauh dari pandangan, tetapi inilah saja yang mampu aku lakukan. Sebuah kejiwaan yang terpendam dan memang tidak dapat dilafazkan. Antara langit dan bumi, memang jauh jaraknya. Tiada yang lebih indah selain ciptaan-Nya. Tiada yang jauh lebih hebat selain ciptaan-Nya, dan kamu antara yang terindah yang telah diciptakan-Nya.
Berbisik sebuah kesayuan, Ya Balquis, dalam kedinginan rasa ku. Membelah-belah keadilan rasa yang tersemai dalam dada. Suara yang berbisik-bisik menghilangkan ketenangan jiwa yang cuba menapuk sebuah keinginan yang amat menyakitkan. Walau sebaris kata atau serangkap puisi jiwa, belum tentu dapat menenagkan kekacauan hati ini. Deras dan kencang tiupan angin yang dibawa oleh sang bayu di kawasan empayr ku ini tidak dapat menenangkan segalanya. Suasana kelam turut menyelubungi pemikiran ku ini. Setiap detik berlalu dengan lamanya. Semakin meyiksa sebuah ketenangan hati yang selama ini dibelai dengan kenangan manis bersama mu wahai empayar ku.
Tiada yang mampu untuk aku persembahkan lagi kepada mu Ya Balquis. Tiada ada satu alasan pun yang dapat menerangkan mengapa semua ini boleh terjadi. Walau seribu madah atau perumpamaan, masih juga tidak dapat menjelaskan kekeliruan ini. Tiada apa yang mampu aku lakukan. Semunya jadi serba salah. Itu, ini, semunya tidak kena. Andai bisa tangan ini mengukur apa saja kehendak hati ini agar kau mengerti tahap kejiawan yang tersiksa ini, akan ku luahkan segala kesengsaraan yang telah bertahta lama dalam hati yang kusut dan tidak tenang ini.
Maka, bila satu hari itu tiba, sesungguhnya, aku tiada lagi mampu untuk menahan kehancuran empayar ini. Wahai Balquis, perintahlah oleh mu empayar ini. Hanya engkau yang aku harapkan dengannya nanti. Pemergian ku adalah untuk selamanya.
Berbisiklah sekalian makhluk, dari serata pelusuk dunia, di serata pelusuk empayar ku, kau kau, aku aku. Kau hidup untuk kau, aku hidup untuk aku. Kau dengan urusan kau, aku dengan urusan ku. Biarlah malam menjadi saksi, antara kau dan aku adalah sahabat sejati yang telah membahagikan tugasan masing-masing mengikut kau, dan mengikut aku.
Ruang akal yang dulunya dipenuhi oleh segala aliran kimia yang menghasilkan pemikira yang tepat dan cekap, kini kian menyempit. Fikiran kita seolah-olah sudah buntu dibawa arus pemodenan yang tidak seimbang dengan kemampuan kita. Kita seolah-olah ditekan dan dilepaskan setelah ditekan. Ini boleh menyebabkan kurangnya keinginan untuk berfikiran secara waras dan terbuka. Kewarasan dan keterbukaan disekat oleh tekanan emosi dan mental yang meronta-ronta minta dilepasi, sehingga menyebabkan terjadinya kebuntuan pada ketepatan dan kecekapan.
Justeru itu aku semakin lemah untuk berfikir. Aku menjadi semakin malas untuk mencari jawapan dengan mengunakan otak ku. Segala pandangan orang dan fikiran mereka aku ikut bulat-bulat. Aku malas untuk berfikir. Biar mereka saja yang berfikir. Aku tidak mahu membebankan otak kesayangan ku ini. Orang lainkan suka berfikir yang macam-macam. Mereka yang sempurna. Segala apa yang mereka utarakan adalah kebenaran yang mereka terima dari pemikiran mereka yang tepat dan cekap. Meskipun apa yang terluar dari mulut mereka boleh mendatangakan kemarahan bagi orang lain.
Aku tidak mahu menjadi mangsa mangsa mereka. Aku tidak mahu menjadi kutukan mereka. Jika aku tidak mengikut apa kehendak mereka, mereka akan marah-marah, naik angin, turun angin, mengumpat dari belakang, membuat cerita yang bukan-bukan tentang aku. Aku tidak mahu jadi begitu. Aku takut. Aku malu hendak membantah kehendak dan buah fikiran mereka. Merekalah yang benar, merekalah yang tahu segala. Aku cuma orang-orang yang sentiasa tertindas oleh keegoan mereka. Biarlah, aku sudah malas untuk berfikir. Biar buntu fikiran ku ini. Aku sudah letih dengan karenah mereka. Aku penat. Biarlah aku untuk aku, mereka untuk mereka.
Ya Balquis, ku serahkan empayar ini kepada mu, maka jagalah dengan sebaiknya, agar apa yang ada di sini berkekalan sehigga akhirnya nanti
Maka sesungguhnya, kau juga harus ketahui bahawa segalanya tidak akan kekal, bahawa segalanya akn musnah satu hari nanti. Walau sekuat mana hati kita cuba untuk tidak percaya dengan keterangan itu, hakikatnya ia tetap akan terjadi dan akan tetap berlaku.
Ya Balquis, ingatlah, bila hati mu tersadai di dalam empayar ku kelak, dan duduk dengan nyamannya di atas singgahsana mu, ketahuilah bahawa, kau harus tahu bahawa Dialah Yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui akan segala-galanya.
Maka ruang kosong angkasa yang merangkum bumi untuk mengisi ruang kosong itu akan menjadi penuh. Setiap sesuatu yang mempunyai pasangannya yang tersendiri yang telah tersedia sejak azalinya dengan kehendak Tuhan, mempunyai tanggungjawab, tujuan dan jua matlamatnya yang tersendiri.
Putaran bumi yang dahulunya diketahui berputar ke kanan akan mengalihkan hala tujunya. Langgit yang dahulunya berada di atas, kini sedaya upaya untuk terus jatuh dan berada di bawah, ruang kosong yang sedia wujud selaras dengan kesempitan akan menghilangkan dirinya di antara alur itu yang bakal mewujudkan sebuah kerajaan yang tidak ada tandingannya dengan kerajaan ku, juga kerajaan mu wahai Puteri Balquis.

0 ulasan

 

blogger templates | Make Money Online