Posted on 9:17 PG

Cerpen: Ubaya-ubaya

By Zaim Ridhwan (Munshi) a.k.a Kin Fariz di 9:17 PG

Nahkan, seperti yang ku jangkakan, ini memang monolong dalaman. Tapi, kadang-kadang aku kurang pasti akan kehendak ku sendiri. Sama ada mahu terus berdiri di sini ataupun menuju ke tempat itu. ‘Itu’ merupakan tempat yang belum pernah ku aga. Yalah, selama dua puluh tahun penempatan ku di sini, aku sekali pun belum pernah ke situ. Entah, aku sendiri tak pasti kenapa aku ingin ke sana.
Seorang lelaki yang berdahi luas hingga ke tenggah kepalanya tak berambut dengan kaca mata yang besar pernah bertannya kepada ku tentang tempat itu. Aku Cuma mampu berkata “hubaya-hubaya bila kita ke sana, membari watir.”
Lelaki yang berdahi luas hingga ke tenggah kepalanya tak berambut dengan kaca mata yang besar itu pun mengatakan terima kasih sambil bersalaman dengan ku, kemudian beredar pergi. Aku kurang pasti dia hendak ke mana. Tapi yang pasti, lelaki yang berdahi luas hingga ke tenggah kepalanya tak berambut dengan kaca mata yang besar itu memulakan langkahnya di sebelah kaki kanan ku, bukan menuju itu.
“Esssh, itu! Sudah jua ku jelaskan arah kadikau! Mengapa demikian anikan! Mianakan maju ni, mun miani pemikiran mu!” jawab ku pada entah makhluk apakah yang ada di depan ku ini. Makhluk inilah yang menemani ku selama dua puluh tahun ini. Biar aku perjelaskan bagaimana bentuknya. Tapi sebelum itu, aku teringatkan sesuatu. Sekejap O.K.
Dia mengangkatkan kepalanya dengan dua tapak tangannya dan mengasingkannya dari leher. Dia kemudiannya membuka rambutnya dangan mengambil otak yang berada di bawah lapisan rambutnya. Saiz otaknya yang merah-merah dan basah-basah dengan cecair merah itu hanya sebesar genggaman tangan. Dia meniup-niup otaknya dan meletakkannya kembali ke dalam kepalanya dan meletakkan kembali kepalanya pada lehirnya.
Nah, sekarang ingatan ku kembali pulih. Seorang budak perempuan yang berumur dalam lingkungan lapan tahun (barang kali) menyatakan bahawa makhluk itu adalah tunggul yang tidak pandai berkata-kata, yang sifatnya hanya terpacak di situ sejak ia mula dipacakkan satu ketika dahulu. Aku pun dengan rasa yang sedikit marah menarik rambut taucang budak perempuan itu kerana menghina kawan ku itu.
Ya, aku ingat sekarang. Kerja kawan ku ini Cuma terpacak di depan ku dan bertanyakan tentang hal-hal yang tak patut-patut. Ia pernah menyatakan bahawa dahulunya, ia merupakan sebatang kayu belaman yang telah diproses menjadi batang kayu untuk struktur rumah yang dijanjikan akan memikat setiap orang yang memandangnya. Aku pun ketawa terbahak-bahak ketika ia menyatakan begitu. Ialahkan, bukan ia yang menyebabkan kecantikan itu, struktur yang lain. Kemudia ia marah kepada ku dengan berhenti bercerita dan mendiamkan diri selama tiga belas tahun dan sekarang baru ia bercakap kembali selepas pujuk-rayu, sumpah-seranah yang ku lemparkan kepadanya, yang kadang-kadang tak henti-henti yang kadang-kadang aku sendiri keletihan akan semua itu yang menyebabkan aku menjadi diam dari pujuk-rayu dan sumpah-seranah itu.
“Hubaya-hubaya” katanya, “Inda berapa bisai tu tampat ah.” Sambungnya lagi. Maka, sebermulanya ia menasihatkan aku untuk tidak pergi ke situ maka aku pun terikut-ikut apabila ada orang-orang yang bertanyakan tentang tempat tersebut. Hmmm..seperti ada unsur-unsur misteri pada tempat itu.
Sepanjang penempatan ku di sini, hanya dalam tiga ratus tujuh puluh lima orang sahaja yang tak pernah bertanyakan tentang tempat itu. Seramai lapan ratus empat puluh lima ribuh sembilan ratus dua puluh satu orang tak sudah-sudah bertanyakan mengenai tempat itu.
Inda ku tau bah, banartah inda ku tau! Inda ku tau bah, banartah inda ku tau!
Inda ku tau bah, banartah inda ku tau! Inda ku tau bah, banartah inda ku tau!
Inda ku tau bah, banartah inda ku tau! Inda ku tau bah, banartah inda ku tau!
Inda ku tau bah, banartah inda ku tau! Inda ku tau bah, banartah inda ku tau!
Inda ku tau bah, banartah inda ku tau! Inda ku tau bah, banartah inda ku tau!
Inda ku tau bah, banartah inda ku tau! Inda ku tau bah, banartah inda ku tau!
Inda ku tau bah, banartah inda ku tau! Inda ku tau bah, banartah inda ku tau!
Inda ku tau bah, banartah inda ku tau! Inda ku tau bah, banartah inda ku tau!
Inda ku tau bah, banartah inda ku tau! Inda ku tau bah, banartah inda ku tau!
Inda pandaikan merati biskita ani! Mun ku inda tau atu indah tah ku tau tu! Ani memajal, menyibukkan hal urang! Diri atu inda jua mulia sangat! Siapakah yang memuji biskita ani! Sadang-sadang dih penyibuk ani! Hal urang dikelinga! Hal diri, inda teurus!
Itulah jawapan ku kepada mereka. Lega rasanya. Bayangkan kalau kita sudah rasa tertekan, itulah jawapan yang akan terkeluar, sekurang-kurangnya bagi diri saya. Eh, salah bagi diri ku. Saya atu macam Prof. tah pulang.
Kerja sebegini memang menyeronokkan. Aku, kadang-kadang berteriak sepuas hati, kadang-kadang bergolek-golek di atas rumput yang segan-segan untuk tumbuh ini, kadang-kadang aku menompat-lompat hingga mencecah ranting pokok itu, kadang-kadang aku berjalan berundur keliling pokok itu dan begitulah seterusnya.
“Eh, hubaya-hubaya!” kata kawan ku itu dan terus diam dan diam dan diam hingga ia menjadi begitu-begitu sahaja. Ialah, begitu-begitu saja, diam-diam.
Aku juga pernah bertanya pada rumput-rumput hijau ini yang segan-segan untuk tumbuh ini. Mereka hanya bergoyang ke kanan, ke kiri, ke depan dan ke belakang berulang-ulang kali. Jadi aku naik bosan dan mencabut-cabut mereka dari tanah itu. Akhir-akhir ini mereka tumbuh kembali dan melakukan perkara yang sama sepeti dulunya.
Aku teringat bahawa semasa penempatan ku di sini iaitu dua puluh tahun dahulu, aku telah diberikan sebuah buku yang bertajuk ‘Itu’ dan sebuah lagi buku yang kesemuannya kosong tanpa apa-apa warna atau dakwat sekalipun dengan disertakan satu benda yang dapannya luncit tajam berwarna hitam yang selebihnya kayu sepanjang enam inci yang memiliki radius bulatan satu milimiter yang aku tidak ketahui apakah fungsinya barang-barang itu kepada ku.
“Hubaya-hubaya!” katanya lagi dan terus mendiam dan diam dan diam dan diam. Selama dua puluh tahun ini, aku tidak pernah mengerti akan sifat hatinya kerana ia jarang bercakap lagi. Cuma yang mampun dikatakannya “hubaya-hubaya, inda bisai tu di sana ah. Baiktah hubaya-hubaya.”
Kerja ku di sini bukannya susah sangat. Aku dibenarkan berjalan-jalan dan memantau-mantau di kawasan ini dan terus berdiri dan berdiri dan bergolek-golek dan berbaring-baring dan membuang najis dan berlari berundur dan menangis-nangis dan ketawa-ketawa dan bermasam-masam muka dan seyum-seyum dan segala-galanya.
Sebenarnya, seingat saya (biarlah kali ini saya gunakan saya bagi ganti diri saya) seorang lelaki yang berdahi luas hingga ke tenggah kepalanya tak berambut pernah menyatakan bahawa “gunakanlah buku dan pensil itu dengan sebaiknya”. Saya langsung tidak faham akan masudnya jadi saya Cuma berlaku seperti mana yang patut dan tidak melakukan perkara yang tidak patut-patut.
Hari ini, saya akan cuba ke sana tanpa menghiraukan kawan ku ini. Biarlah dia marah-marah dengan berdiam diri, sesungguhnya itu bukanlah penting sangat. Perkara yang penting bagi saya ketika ini ialah bagaimana untuk ke sana dan bagaimana untuk pulang semula ke mari sesudah selesai memantau-mantau akan keadaan di sana. Tapi, siapa yang berani untuk menemani saya? Kamu berani? Ya kamulah pembaca, kamu boleh temani saya? Hmm..pada saat inilah aku tidak mengetahui akan penjelasan kamu. Sesungguhnya aku tidak mempunyai kuasa untuk mengetahui akan pandangan dan perasaan kamu ketika ini. Bidang itu sama sekali di luar kemahiran saya. Kamu mungkin mengatakan bahawa saya ini Cuma suka mendengar pendapat orang lalu mengabaikan tanggungjawab sendiri, kamu mungkin berpendapat bahawa saya ini tak tentu pegangan dengan mngunakan kata ganti diri seperti ‘saya’ dan ‘aku’, kamu mungkin berpandangan serong kepada saya kerana saya berkelakuan normal bagi pandangan saya yang kamu fikirkan tidak normal, kamu mungkin beranggapan bahawa saya ini gila dengan menulis seperti ini. Ini semua kemungkinan sahaja kerana saya percaya bahawa biskita orang baik-baik, biskita orang bijaksana, biskita lebih mengetahui akan apa yang saya tidak ketahui. Jadi, saya tidak akan mengerti akan isi hati biskita dan biskita (melalui tulisan saya ini) akan dapat menafsirkan akan peribadi saya dan segalanya itu saya tidak ketahui melainkan apa yang saya sudah alami dan rasai sendiri. Maka janganlah mengatakan saya ini gila kuasa ataupun gila buat kerja dengan mengikut kehendak sendiri kerana biskita tidak berada di waktu ini, di waktu saya menulis ini dengan mengunakan buku yang kesemuannya kosong tanpa apa-apa warna atau dakwat sekalipun, dengan disertakan satu benda yang dapannya luncit tajam berwarna hitam yang selebihnya kayu sepanjang enam inci yang memiliki radius bulatan satu milimiter ini. Tapi mungkin saja pandangan biskita itu tepat, tapi itu di luar bidang saya kerana saya tidak akan mengetahui akan pemikiran biskita kerana saya orang lemah dan hanya mengikut arahan-arahan tertentu dengan patuh yang akhirnya saya sendiri dituduh gila dan pentingkan diri sendiri kerananya. Hatta dengan petuh sekalipun saya mengikut kehendak mereka, saya sendiri yang kena.
Kesemua itulah yang aku tuliskan pada buku yang kesemuannya kosong tanpa apa-apa warna atau dakwat sekalipun, dengan mengunakan satu benda yang dapannya luncit tajam berwarna hitam yang selebihnya kayu sepanjang enam inci yang memiliki radius bulatan satu milimiter ini.
“Hubaya-hubaya.”
Aku terus berdiri di sini dan membaca apa saja yang terkandung dalam buku yang bertajuk ‘Itu’ ini dengan menafsirkan segala hal yang terkemuka dan berlaku. Aku juga meneliti akan hasil nukilan ku sendiri dalam buku yang pada mulanya kosong tanpa apa-apa warna atau dakwat sekalipun, yang ku tulis dengan mengunakan satu benda yang dapannya luncit tajam berwarna hitam yang selebihnya kayu sepanjang enam inci yang memiliki radius bulatan satu milimiter ini.
“Hubaya-hubaya.”
Maka, aku terus berdiri di sini dengan ditemani oleh sahabat karib ku ini yang sudah ku beri nama tanpa pengetahuan kamu (kerana aku pentingkan diri sendiri dan tak hiraukan pandapat kamu) dengan nama Awang Tunggul. Aku juga tidak akan pergi ke tempat ‘Itu’ kerana aku amat setia akan arahan dari Awang Tunggul (sahabat ku yang amat istimewa itu) dengan mengamalkan sifat “hubaya-hubaya” pada diri ku sendiri.
Mungkin timbulnya kemushkilan mengenai tempat itu dalam diri kamu sendiri. Aku sendiri tidak dapat menjelaskannya kepada kamu dan dengan ini saya ingin meminta maaf atas kekurangan saya ini kerana tidak dapat menjelaskan dengan lebih lanjut lagi mengenai tempat itu. Ini disebabkan oleh beberapa perkara yang tidak dapat saya elakkan. Sebab pertama ialah kerana saya tidak mengetahui akan makna-makna yang dijelaskan mengenai ‘Itu’. Sebab kedua ialah saya tidak berapa tahu membaca karangan si penulis ‘Itu’. Sebab ketiga ialah gambaran-gambaran yang dinyatakan dalam ‘Itu’ itu amat menyeramkan sekali. Sebab keempat ialah penulisnya terlalui pintar menyembunyikan sesuatu, dan yang terakhir ialah sebab kelima ini kurang jelas akan penerangan ku dalam buku yang pada mulanya kosong tanpa apa-apa warna atau dakwat sekalipun, yang kemudiannya saya tulis dengan satu benda yang dapannya luncit tajam berwarna hitam yang selebihnya kayu sepanjang enam inci yang memiliki radius bulatan satu milimiter ini.
Jadi setiap orang yang bertanya kepada saya tentang tempat ‘Itu’ akan saya katakan “Hubaya-hubaya kita, jangan luan dipercayai tu tampat ah. Hubaya-hubaya kitani” sambil bergantung-gantung pada ranting-rangting kayu yang saya lompati hingga mencecahnya.
“Hubaya-hubaya” kata ku pada budak perempuan yang berumur dalam lingkungan lapan tahun itu (barang kali) sambil berjalan berundur berulang kali mengelilingi Awang Tunggul.
“Hubaya-hubaya” kata saya kepada seorang lelaki yang berdahi luas hingga ketenggah kepalanya tidak berambut sambil bergolek-golek di atas rumput hijau yang segan-segan hendak tumbuh ini.
“Hubaya-hubaya” saya tuliskan dalam buku yang pada mulanya kosong tanpa apa-apa warna atau dakwat sekalipun, dengan mengunakan satu benda yang dapannya luncit tajam berwarna hitam yang selebihnya kayu sepanjang enam inci yang memiliki radius bulatan satu milimiter ini dengan tuntas sekali dan banyak sekali agar dapat ditafsir oleh ketua saya yang mengarahkan saya berdiri-diri di sini sehingga mencecah dua puluh tahun ini bagi mengkaji tentang tempat ‘Itu’. Nah sekarang saya ingat akan tujuan saya kemari. Tuan, saya meminta maaf, inzinkan saya mengkaji tempat itu dan saya akan catatkannya di sini lagi seketika nanti. Terima kasih.
Aku pun pergi ke tempat itu dengan penuh semangat dan keberanian yang kental.
“Eh, hubaya-hubaya. Membari watir tu tampat ah. Hubaya-hubaya eh!” suara yang jelas, terang dan banyak itu datang dari kumpulan orang yang berjumlah seramai lapan ratus empat puluh lima ribuh sembilan ratus dua puluh satu orang yang dahulunya tak sudah-sudah bertanyakan mengenai tempat itu.
Aku naik takut dan berpaling arah kepada mereka dan berkata “eh, hubaya-hubaya, membari watir tu tampat ah. Aku tadi kan meninjau saja, adakah orang kah inda. Hubaya-hubaya biskita. Membari watir tu tampat ah.”
Munshi
2007
Universiti Brunei Darussalam

Posted on 7:58 PG

Cerpen: Empayar Halimunan

By Zaim Ridhwan (Munshi) a.k.a Kin Fariz di 7:58 PG


Oleh: Munshi, 2006.

Antara langit dan bumi, terletak di antara keduanya, adalah sebuah alur atau ruang yang kosong. Pada hak dan halnya, setiap ruang yang penuh akan sentiasa berdanping dengan sebuah ruang yang kosong.
Bila dilihat pada ruang kosong angkasa dan terangkumnya bumi untuk mengisi ruang kosong itu sehingga ia menjadi penuh. Bukankah setiap sesuatu itu mempunyai pasangannya yang tersendiri yang telah tersedia sejak azalinya dengan kehendak Tuhan, dan pula, setiap sesuatu itu memiliki tujuan dan jua matlamatnya diciptakan. Kotak pemikiran manusia terbatas setakat kemampuannya.
Walau seluas mana ruang lingkup pemikiran manusia itu, ia tetap terbatas dan perbatasan ini tercipta untuk menghadkan sesuatu agar hukum itu tidak dilanggar. Bila perbatasan dan had ini dilanggar, maka segala sesuatu yang berada disebalik perbatasan itu akan tidak terahsia lagi.
Putaran bumi yang dahulunya diketahui berputar ke kanan akan mengalihkan hala tujunya. Langgit yang dahulunya berada di atas, kini sedaya upaya untuk terus jatuh dan berada di bawah, ruang kosong yang sedia wujud selaras dengan kesempitan akan menghilangkan dirinya di antara alur itu.
Sebuah ruang baru tercipta hasil dari penyatuan langit dan bumi yang terhasil atas dasar bahawa perbatasan yang telah tercipta itu dicemari dan tidak terahsia lagi. Kewujudan ini sememangnya wajar dan bertepatan pada pembalasan yang sentiasa diinginkan oleh kita sendiri.
Dari permulaan kewujudan kehidupan kita hingga terlahirnya sebuah perasaan yang ingin memberotak inginkan suatu perubahan yang dramatik. Sesuatu yang ganjil, yang menarik, yang indah. Indah bagi pandangan kita sendiri. Indah bagi segala yang kita fikirkan indah. Indah dan segalanya yang indah bagi pandangan yang sempit ini dan semuanya indah dipadang oleh manusia. Oleh kita. Kita sebagai makhluk yang menganggap kita sempurna dan berhak miliki kebebasan.
Ya, kebebasan. Kebebasan yang abadi. Lepas dari segalanya. Lepas dari kongkongan masa yang sentiasa mengikat manusia untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.
Dari kanan ke kiri ke kanan dan ke kiri. Dari depan ke belakang, ke depan dan ke belakang kembali. Dari bawah ke atas, ke bawah dan ke atas kembali. Segalanya halimunan. Istana, tembok-tembok kota, menara-menara pertahanan, semuanya halimunan.
Masuklah engkau ke dalam kota ku, ini empayar ku. Singkaplah kain mu, kerana aku takut nanti kain mu akan basah terkena air sungai yang mengalir di bawah lantai ku ini. Namun, kain mu tetap juga tidak akan basah, kerana lantai ku, adalah dari batu marmar yang halimunan, lantai yang ditempah khas dari negeri seberang, yang miliki pekerja dari alam seberang.
Maka yang kau lihat di sebelah kanan mu adalah taman buah-buahan yang batang kayunya adalah emas tulin, yang daun-daunnya adalah batu-batu jade yang asli, yang buah-buahnya terdiri dari permata-permata yang jernihnya mengalahi jernih permata-permata lain.
Maka yang kau lihat di sebelah kiri pula adalah ladang-ladang ternakan, yang dipenuhi oleh unta-unta, lembu-lembu, kambing-kambing, ayam-ayam yang insya-Allah, sejuta tahun akan datang tidak juga habis-habis.
Maka jika kau pandang ke hadapan pula adalah sebuah istana yang insya-Allah akan menandingi kota larangan di Cina, yang atapnya, tiangnya, dindingnya, barang-barang di dalamnya, terdiri dari berbagai jenis batu permata, yang datang dari berbagai-bagai jinis negeri.
Maka di belakang mu pula adalah pintu masuk yang Subahanallah besarnya tiada tandingannya di bawah langgit biru ini, yang di kawal oleh jin-jin yang patuh pada pemerintah.
Maka yang kau lihat ke langit itu pula adalah perisai pelinding empayar ku, halimunan, yang insya-Allah, jika digugurkan tujuh ratus lapan puluh juta biji bom atom pun tidak akan dapat mengapa-apakannya.
Hatta, penduduknya penuh sopan-santun dan tertib, yang semuanya menurut perintah dengan taat sekali, yang akan menyuarakan usul mereka dengan tertib dan sopan sekali, yang akan aku dengar biarpun aku dikritik secara terhormat, kerana semua ada hak, kerana semua ada amanah, kerana semuanya manusia, termasuk aku, punyai kesilapan, kerana semua orang ada kekuatan dan kelemahan, termasuk jin-jin yang menjaga pintu itu, termasuk makhluk-mahluk lain yang ada di kerajaan ku ini. Jika kau terpegun akan kota ku ini, yang ku dirikan dari sebuah empayar yang halimunan ini, makan janganlah kau memuji-muji ku, kerana ini bukan milik ku seorang.
Dalam sebuah carta pai, milik ku hanya satu peratus, yang lainnya adalah milik bersama penduduk empayar ku. Jika kau berada di kota ku yang lain pula, yang kesemuanya aku sendiri pun lupa, maka jangan kau sekali-kali memuji-muji ku, kerana bukan semuanya usaha ku.
Hadir ku seperti pengembala kambing, yang menjaga ternakannya dengan penuh kasih sayang, yang menjaga ternakanya dengan penuh tertib dan teratur, yang akan ku pelihara seekor demi seekor dengan harmoni sekali. Percayalah engkau, yang semua ini datangnya dari Ya Ilahi, yang semua ini milik-Nya, yang semua ini adalah kerelaan dan keredaan dari-Nya.
Ya, marilah masuk ke istana ku. Ya memang betul itu singgahsana mu. Aku telah arahkan orang ku, yang terbaik dari yang terbaik, untuk meniru keanggunan dan ke agungan singahsana mu, buat mu duduk beristerihat ketika berada di kota ku ini. Mahkota impian buat mu, wahai saudara-saudara ku. Keindahan halimunan ini, adalah keindahan dari Ilali.
Keberkatan kejiwaan ini, adalah dari keikhlasan yang telah ditunjukkan. Kehadiran sang kerdil, menjadikan kita semua jadi hambar ke atas segala ujian yang telah dikurniakan, ke atas segala nikmat yang telah diberikan.
Maka akan berkata sekalian manusia di suatu ketika yang kita sendiri tidak ketahu akan bila ketika itu, akan bila masa itu, akan bila waktu itu yang aku sendiri tidak ketahui akan di mana aku berada kerana semuanya halimunan, yang segalanya halimunan, yang pada ketika itu, manusia-manusia yang hadir akan berasa hairan, akan berasa takut, akan berasa gembira, akan berasa macam-macam kerana tidak tahu di mana mereka berada pada saat ini, sedangkan mereka telah diberikan akal yang sempurna, dengan segala kepemandaian yang masing-masing telah miliki, yang masing-masing telah pelajari, yang masing-masing telah alami, yang masing-masing akan mengatakan bahawa apa yang aku ketahui ini adalah hasil dari titik peluh ku, hasil dari usaha ku, hasih dari pendidikan ku yang kamu sekalian tiada hak untuk menegur segala kesilapan ku, yang kamu semua tidak mengetahui apa yang aku ketahui, yang kamu sekalian tidak mengenal apa yang aku pelajari, yang aku tidak akan mengajar kamu tentang semuanya, kerana ini adalah hasil dari usaha ku!
Maka, hari itulah nantinya akan meruntuhkan segala kehalimunan empayar ku, kerana pada saat itu, saat yang aku sendiri tidak ketahui, aku sudah tiada lagi, yang pada saat itu, segala peningalan ku akan dibahagi-bahagi, yang pada saat itu ataupun pada ketika itu, aku tidak akan diingat lagi, aku tidak akan dikenali lagi, yang aku tidak akan lagi berada dalam kotak fikiran jelama-jelama yang pernah hidup di bawah naungan empayar ku, yang semuanya akan musnah dan akan kembali ke pangkuan asalnya.
Namun, semuanya bersifat sementara. Biarlah, biarlah apabila saat itu tiba, manusia-manusia itu runtuhkan segala apa yang telah aku bina untuk mereka, kerana aku tidak minta dikenang dan aku tidak minta untuk dipuji-puji mahupun disanjung-sanjung dan yang sewaktu dengannya.
Wahai Putri Balquis yang memerintah tanah seberang, yang memiliki wajah yang tiada tandingan. Ketahuilah bahawa, pemerintahan mu amat sempurna, kerajaan mu maju jayanya, maka katakanlah bahawa semuanya datang dari Allah Ya Rahman, katakanlah bahawa segalanya pemberian Allah Ya Rahim, yang mewujudkan segala keselesaan hidup mu, yang memberikan segalanya kepada mu.
Wahai Putri Balquis yang bijaksana, jangan kau gunakan kecantikan mu untuk mencacatkan empayar halimunan ku, kerana kehalimunan yang ada pada masa ini sangat rindukan belaian mu, sangat dambakan keindahan mu yang aku sudah sekian lama mengalihkan perasaan mereka itu, agar mereka tidak memandang mu walau sesaat pun, kerana kehadiran mu di sini adalah untuk menyaksikan empayar ku, yang aku tidak ketahui sampai bila kewujudannya.
Maka ketahuilah wahai Puteri Balquis bahawa, ufuk waktu yang mendukung langit akan roboh pada bila-bila masa, yang bila kau bayangkan tidak akan dapat dibayangkan sama sekali.
Marilah, marilah bersama ku, untuk menyaksikan lagi apa yang ada dihalaman empayar ku ini. Oh itu, ya, itu adalah taman kanak-kanak, yang aku bina bersama penduduk di sini untuk menjadikan tempat itu sebagai tempat permainan mereka. Mengapa? Kerana mereka adalah kuirniaan suci dari Ilahi, kerana, mereka adalah benih yang bakal tumbuh mengantikan daun-daun yang mula menguning dan kering, yang bakal gugur pada bila-bila masa saja.
Itu? Itu adalah khutub kanah yang tersusun di dalamnya seratus limapuluh juta naskah manuskrip, makalah-makalah, jurnal-jurnal, buku-buku dan segala yang berkaitan dengannya yang akan dibaca oleh sekalian rakyat di seluruh pelusuk empayar ku dan mengapa? Maka fikirkanlah sendiri dengan kepintaran mu, kerana aku sendiri tidak ketahui, tentang apa yang kau fikirkan sendiri, dan sesungguhnya fikiran kita amat berbeza dan kita masing-masing miliki keistimewaan untuk berfikir dan muhasabah diri.
Memang jauh dari pandangan, tetapi inilah saja yang mampu aku lakukan. Sebuah kejiwaan yang terpendam dan memang tidak dapat dilafazkan. Antara langit dan bumi, memang jauh jaraknya. Tiada yang lebih indah selain ciptaan-Nya. Tiada yang jauh lebih hebat selain ciptaan-Nya, dan kamu antara yang terindah yang telah diciptakan-Nya.
Berbisik sebuah kesayuan, Ya Balquis, dalam kedinginan rasa ku. Membelah-belah keadilan rasa yang tersemai dalam dada. Suara yang berbisik-bisik menghilangkan ketenangan jiwa yang cuba menapuk sebuah keinginan yang amat menyakitkan. Walau sebaris kata atau serangkap puisi jiwa, belum tentu dapat menenagkan kekacauan hati ini. Deras dan kencang tiupan angin yang dibawa oleh sang bayu di kawasan empayr ku ini tidak dapat menenangkan segalanya. Suasana kelam turut menyelubungi pemikiran ku ini. Setiap detik berlalu dengan lamanya. Semakin meyiksa sebuah ketenangan hati yang selama ini dibelai dengan kenangan manis bersama mu wahai empayar ku.
Tiada yang mampu untuk aku persembahkan lagi kepada mu Ya Balquis. Tiada ada satu alasan pun yang dapat menerangkan mengapa semua ini boleh terjadi. Walau seribu madah atau perumpamaan, masih juga tidak dapat menjelaskan kekeliruan ini. Tiada apa yang mampu aku lakukan. Semunya jadi serba salah. Itu, ini, semunya tidak kena. Andai bisa tangan ini mengukur apa saja kehendak hati ini agar kau mengerti tahap kejiawan yang tersiksa ini, akan ku luahkan segala kesengsaraan yang telah bertahta lama dalam hati yang kusut dan tidak tenang ini.
Maka, bila satu hari itu tiba, sesungguhnya, aku tiada lagi mampu untuk menahan kehancuran empayar ini. Wahai Balquis, perintahlah oleh mu empayar ini. Hanya engkau yang aku harapkan dengannya nanti. Pemergian ku adalah untuk selamanya.
Berbisiklah sekalian makhluk, dari serata pelusuk dunia, di serata pelusuk empayar ku, kau kau, aku aku. Kau hidup untuk kau, aku hidup untuk aku. Kau dengan urusan kau, aku dengan urusan ku. Biarlah malam menjadi saksi, antara kau dan aku adalah sahabat sejati yang telah membahagikan tugasan masing-masing mengikut kau, dan mengikut aku.
Ruang akal yang dulunya dipenuhi oleh segala aliran kimia yang menghasilkan pemikira yang tepat dan cekap, kini kian menyempit. Fikiran kita seolah-olah sudah buntu dibawa arus pemodenan yang tidak seimbang dengan kemampuan kita. Kita seolah-olah ditekan dan dilepaskan setelah ditekan. Ini boleh menyebabkan kurangnya keinginan untuk berfikiran secara waras dan terbuka. Kewarasan dan keterbukaan disekat oleh tekanan emosi dan mental yang meronta-ronta minta dilepasi, sehingga menyebabkan terjadinya kebuntuan pada ketepatan dan kecekapan.
Justeru itu aku semakin lemah untuk berfikir. Aku menjadi semakin malas untuk mencari jawapan dengan mengunakan otak ku. Segala pandangan orang dan fikiran mereka aku ikut bulat-bulat. Aku malas untuk berfikir. Biar mereka saja yang berfikir. Aku tidak mahu membebankan otak kesayangan ku ini. Orang lainkan suka berfikir yang macam-macam. Mereka yang sempurna. Segala apa yang mereka utarakan adalah kebenaran yang mereka terima dari pemikiran mereka yang tepat dan cekap. Meskipun apa yang terluar dari mulut mereka boleh mendatangakan kemarahan bagi orang lain.
Aku tidak mahu menjadi mangsa mangsa mereka. Aku tidak mahu menjadi kutukan mereka. Jika aku tidak mengikut apa kehendak mereka, mereka akan marah-marah, naik angin, turun angin, mengumpat dari belakang, membuat cerita yang bukan-bukan tentang aku. Aku tidak mahu jadi begitu. Aku takut. Aku malu hendak membantah kehendak dan buah fikiran mereka. Merekalah yang benar, merekalah yang tahu segala. Aku cuma orang-orang yang sentiasa tertindas oleh keegoan mereka. Biarlah, aku sudah malas untuk berfikir. Biar buntu fikiran ku ini. Aku sudah letih dengan karenah mereka. Aku penat. Biarlah aku untuk aku, mereka untuk mereka.
Ya Balquis, ku serahkan empayar ini kepada mu, maka jagalah dengan sebaiknya, agar apa yang ada di sini berkekalan sehigga akhirnya nanti
Maka sesungguhnya, kau juga harus ketahui bahawa segalanya tidak akan kekal, bahawa segalanya akn musnah satu hari nanti. Walau sekuat mana hati kita cuba untuk tidak percaya dengan keterangan itu, hakikatnya ia tetap akan terjadi dan akan tetap berlaku.
Ya Balquis, ingatlah, bila hati mu tersadai di dalam empayar ku kelak, dan duduk dengan nyamannya di atas singgahsana mu, ketahuilah bahawa, kau harus tahu bahawa Dialah Yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui akan segala-galanya.
Maka ruang kosong angkasa yang merangkum bumi untuk mengisi ruang kosong itu akan menjadi penuh. Setiap sesuatu yang mempunyai pasangannya yang tersendiri yang telah tersedia sejak azalinya dengan kehendak Tuhan, mempunyai tanggungjawab, tujuan dan jua matlamatnya yang tersendiri.
Putaran bumi yang dahulunya diketahui berputar ke kanan akan mengalihkan hala tujunya. Langgit yang dahulunya berada di atas, kini sedaya upaya untuk terus jatuh dan berada di bawah, ruang kosong yang sedia wujud selaras dengan kesempitan akan menghilangkan dirinya di antara alur itu yang bakal mewujudkan sebuah kerajaan yang tidak ada tandingannya dengan kerajaan ku, juga kerajaan mu wahai Puteri Balquis.

Posted on 7:54 PG

Cerpen: Pil

By Zaim Ridhwan (Munshi) a.k.a Kin Fariz di 7:54 PG

Oleh: Munshi, 2008.

Mungkin itu salah ku. Ya, salah ku.
“Tak ada lagi orang lain yang kami teliti yang patut disabitkan kesalahan ini. Kamulah calun yang paling sesuai. Kamu kecil, tidak memiliki pangkat atau nama, kamu mudah putus asa dan mudah makan kata. Sedangkan kami berkuasa di sini, malah lebih berkuasa dari mana-mana orang pun. Jangan sangka kami muda, senang untuk kamu mengampu. Kami tidak makan diampu.” Dia ketawa kecil sambil menunding jari ke arah ku.
“Jadi, aku harus mengikut perintah mu?”
Aku heran, soalan itu seolah-olah tidak kena dengan taraf pemikiran ku yang amat ku banggakan sejak sekian lama ini.
“Seharusnya begitulah. Kamu tidak lagi mempunyai pilihan melainkan mengikut apa yang kami nyatakan tadi. Lagipun, itu cuma tuduhan ringan. Kamu dituduh tidak mengikut arahan kami, tidak mahu berbincang dengan kami, tidak mahu bertindak dengan arahan kami, dan, yang paling ringan ialah kamu itu pentingkan diri sendiri.” Dia ketawa kecil sambil menunding jari ke arah ku.
Aku? Barang kali masa itu aku terlupa makan pil.
Aku mengambil botol pil ku yang dibalut dengan penerangan ‘This is a synthetic drug. This drug have being produce by medical scientist. Munshi, ubat ini hendaklah dimakan dua (2) biji, tiga (3) kali sehari saja.’
Ya, memang, pada masa itu aku telah membeli sekerat kepayas dengan sebotol air mineral. Aku memakan kepayas itu sambil berjalan mengelilingi rumah ku yang kemudiannya aku terjumpa duit siling dan aku taruh siling itu ke dalam saku. Ya, aku baru ingat. Ketika itu juga aku dipangil mama untuk membeli ayam mentah dan sayur di kedai depan rumah ku. Peniaga di situ sempat bertaya kepada ku tentang masalah kucing ku yang selalu sangat mencuri ikan-ikan yang didinginkan untuk dibuatkan lauk.
“Chi, mana tia ayam ah? Sudah kau bali kah?”
“Awu ma, ni sudah ah, kenapa kian?”
“Bah, bawa tia ke dapur. Yang kau gusuk-gusukkan dibelakang kucing atu kenapa? Barang kan dimakan pulang tu! Luan jua silahau mu ani?! Sadang-sadang dih! Baik tah kau makan tu pil mu ah. Karang, datang lagi penyakit mu atu.”
“!”
Nah, sekarang sudah pasti. Pada masa itu aku terlupa untuk makan pil ku.
Aku teringat akan kata-kata mama itu. Sekarang, aku berhadapan dengan seorang perempuan yang entah, aku sendiri tidak dapat huraikan akan dirinya yang kini berwajah entah, kenapa riak mukanya ini seperti orang marah dan senyum? Apa dia marah atau senyum? Atau buat-buat marah yang seiras dengan senyuman marah? Atau mana-mana saja perkataan yang dapat menghuraikan dengan apa yang ku lihat pada ketika ini. Susah! Ini bahaya! Nahas!
Aku memutar sedikit botol itu. ‘Ingredient: Sorry, we cannot display the ingredient.’
“Aku tidak mahu menerima arahan mu wahai perempuan yang marah atau senyum?” aku ketawa singkat dan menunding jari manis ku ke arah mukanya. Aku berpuas hati dengan kelakuan ku itu. Sekurang-kurangnya aku melawan kerana aku sendiri heran akan alasan yang dikemukakan oleh perempuan itu. Maklumlah, aku bukanya orang yang fasih sangat dalam bidang tafsir-menafsir ini. Ramai lagi yang lebih pandai daripada aku.
“Binatang! Kenapa tidak mahu mangikut arahan kami?”
“Puan! Kenapa gunakan perkataan “kami” sedangkan puan hanya seorang di situ. Adakah “kami” itu juga termasuk saya? Sedangkan saya sendiri berasa tidak layak untuk mengatakan saya binatang!”
“Diam!” dia ketawa kecil sambil menunding jari tepat ke arah hidung ku.
Ini tidak boleh jadi. Aku dikatakan binatang. Tapi, apakah perkaitan ku dengan binatang, sedangkan teori evolusi monyet yang menerangkan akan asal mula jadi manusia itu memang tiada kaitan sama sekali dengan ku, atau mana-mana orang pun. Walaupun kebanyakan komponen yang dimiliki oleh monyet itu terdapat pada manusia. Ini disebabkan kita adalah makhluk. Makhluk banyak persamaannya. Jadi, tidak hairanlah jika komponan yang dimiliki oleh monyet itu terdapat dalam diri manusia, dan semestinya aku bukan binatang!
“Engkau cuma manusia biasa. Engkau tidak mempunyai apa-apa. Engkau tuyu. Engkau jajal. Engkau matinggal dan engkau segala-galanya engkau dan terus engkau, engkau, dan engkau yang segala-galanya miliki sikap yang negatif.” Dia ketawa kecil sambil menunding jari ke arah mata ku.
“Eh. Kenapa banyak sangat gunakan kata “engkau”. Tadi kamu gunakan kata “kamu”, sekarang kamu gunakan perkatan “engkau” lagi kepada ku. Apa aku ini banyak sangat perangai? Banyak sangat muka?”
“Oi, berapa kali lagi hendak aku nyatakan kepada engkau yang engkau itu pentingkan diri sendiri? Tuyu!” Dia...ah kamu tahulah dia tu, suka sangat ketawa kecil dan menundingkan jari ke arah ku.
“Bang, makan.”
“!”
Aku mengeluarkan sebiji pil dari botol yang ku pegang.
“Bah kajap.”
“Bang, nampak kita patung ku?”
“!”
“Ni nah dalam bilik ah. Tugal-tugal dapan ku ah. Baik tah kau ambil ini. Bejurit bilik ku.”
“Bah, kajap lagi.”
“Nah, kau dengar itu! Sekejap lagi adik perempuan ku akan mengambil mu.” Aku tertawa kecil sambil menunding jari ke arahnya. Ya! Aku puas sekarang. Sekejap lagi patung ini akan diambil oleh adik ku.
Aku turun ke bawah untuk makan bersama keluarga ku.
Aku membiarkan pandangan ku untuk melihat keluar rumah melalui jendela ini, ada sebuah kereta besar yang berwarna hitam sedang diletakkan di kawasan lapang rumah ku (maaf, rumah ibubapa ku).
“Chi, dari tadi sudah ku arik-arik ani nyamu. Bahapa saja kau di atas atu kan?”
“Tuan, kami kawan tuan.” Kedengaran satu suara masuk ke telinga sebelah kanan ku.
Kawan? Sejak bila aku ada kawan. Ini menimbulkan kesan sampingan yang amat mencabar intelek ku? Tapi apa bol-
“Assalamualaikum. Munshikan?” Dia menghulurkan tangannya yang dihiasi jam tangan yang mewah berwarna hitam secara tiba-tiba.
“Waalaikum salam. Awu, kenapa?” Aku menjawat tanganya untuk membalas salam itu.
“Ci, ni makanan mu ah. Dari tadi udah kami menunggu. Bahapa saja kau di atas atu kan?”
“Ani, adakan kami bincangkan sama kita. Apa gayanya kalau berbincang di dalam bilik kita?”
“Bah, bisaitah tu. Maritah, silakan.”
Kami naik melalui tangga rumah dan masuk ke dalam bilik. Lelaki yang menghulurkan tanganya yang dihiasi dengan jam tangan mewah yang berwarna hitam itu mencari-cari tempat duduk.
“Bah, silakantah. Di mana saja. Duduk tah.”
“Terima kasih. Maaf, saya terpaksa mengunakan bahasa baku untuk perbincangan kita kali ini, kerana setiap perbualan kita akan dirakamkan. Jika mendapat izin dari pihak tuan, maka saya akan mengarahkan pembantu saya untuk memulakan sesi rakaman.”
“Baiklah, silakan.”
“Terima kasih.”
“Sama-sama kasih.”
“Agen 4m31, sila wujudkan diri.”
“Baik tuan.”
“Hanya seorang agen?”
“Ya tuan, hanya seorang. Yang lain seorang lagi mendapatkan data dalam kereta tersebuat.”
Kami memulakan perbincangan mengenai kapal induk yang membawa rangka kapal angkasa yang bakal di assamble di Stesen Setelit Bumi Telisai. Di situ terletak tiga buah institusi sains seperti Institud Sains Kebangsaan Brunei, Institud Antarabangsa Sain Angkasa Lepas dan Institud Penyelidikan Sains Teknologi Komunikasi. Kesemua Institusi itu dibina dalam tanah bagi mengelak dari pengetahuan umum. Sekarang semuanya sudah selesai.
“Rangka kapal itu akan dihalimunankan tuan sebelum dipindahkan dari kapal induk itu. Sebelum itu, tuan sudah makan pil tuan?”
Aku menganguk ringkas. Kemudian aku membawa mereka ke makmal bawah tanah ku.
“Chi, turun makan. Lakas, sajuk tia karang makanan ah.”
“Bah.”
Kami mula beredar ke sebuah pintu yang mengandungi lif sebesar empat orang. Kemudian lif itu bergerak menuju ke bawah. Dalam lingkungan masa dua minit, kami tiba diperkarangan makmal yang dimaksudkan.
“Tuan. Adakah keluarga tuan menyedari tuan memiliki sejinis jangkitan yang menjejaskan cara tuan bertindak?”
“Mereka tahu Agen 17m3. sebab itu apabila saya hampir-hampir berkelakuan ganjil, mereka lekas-lekas mengarahkan saya untuk makan pil itu.”
“Bagaimana dengan kami tuan?”
“Kamu dikenali sebagai kawan rapat saya.”
“Tuan, kami sudah mendapat maklumat mengenai pil tuan.”
“Tuan, pil itu telah dikeluarkan oleh Institusi Perubatan Kebangsaan di University Brunei Darussalam.”
“Saya tahu.”
“Menurut beberapa maklumat, pil itu telah dihasilkan untuk mengawal saluran darah, yang mengalir melalui saraf-saraf, yang membawa darah ke otak.”
“Ya, begitulah menurut mereka.” Aku merenung pil bujur yang sedari tadi ku genggam.
Aku kemudiannya menunjukkan mereka rangka kapal angkasa yang terhempas di halaman Taman Rikriasi Kampung Parit beberapa tahun lalu. Ini adalah kali pertama mereka melihat kapal angkasa yang besarnya cuma berukuran dua buah kereta besar. Namun, mereka tidak pertama kali berada dalam makmal ini.
“Agen 4m31, tadi saya dihubungi oleh seorang perempuan melalui patung adik saya. Cuba kesan dari mana datangnya perempuan itu.”
“Baik tuan.”
“Tuan, kapal ini pernah berligar di kawasan Stesen Setelit Bumi di Telisai, Tutong, sepuluh tahun yang lalu.”
“Kamu pasti?”
“Tuan, dia merupakan Penasihat Kanan di Institud Sains Kebangsaan Brunei.”
“Ia?” Aku mengelamun seketika. Aku kini sedar bahawa perempuan itu merupakan bekas Timbalan Pengarah di Institud tersebut. Mungkin dendamnya belum habis lagi. Dialah yang menyebabkan aku kurang berupaya untuk mengawal peri laku ku yang kini semakin parah.
“Mungkin dia mahu tuan hapus sama sekali dari kajian angkasa lepas ini.”
Aku teringat lagi tiga tahun lepas yang telah melibatkan aku dan dia membentuk sebuah krisis yang mencetuskan pertelingkahan yang tidak sudah-sudah. Pada waktu itu, aku cuma mampu berdiam diri dari terus bertegang urat menerais untuk mempertahankan maruah ku. Apa gunanya bertengkar kalau hanya perkara yang kecil. Aku sedar. Aku memang sepatutnya digelar orang yang pentingkan diri sendiri, namun aku tidak lawak dimaki hamun sehingga menjatuhkan maruah ku dan kedudukan ku di Institud tersebut. Kini, tinggal aku dan tiga orang Agen yang setia ini membantu ku dalam menyelesaikan permasalahan ini.
“Tapi itu tidak bermakna saya akan menghilangkan diri begitu saja tanpa menyelesaikan permasalahan yang kita hadapi pada masa ini. Pertengkaran tidak akan menyelesaikan apa-apa. Saya tidak mengambil hati. Cuma-”
“Tuan! Percikan api elektrik yang dicetuskan oleh ledakan kilat Striking Light telah melumpuhkan sistem kawalan di makmal tujuh di Telisai, tuan!”
“APA?! Hubungi segera Professor Anndas di Seria! Hidupkan Sistem hala litar backup dan salurkannya ke Telisai segera!”
“Mereka telah hubungi Professor Anndas, namun sistem backup tidak dapat berfungsi tuan, dan kini Sistem Keselamatan di Telasai sedang diceroboh!”
“Angen 17m3, pangil Agen 22m3 ke mari segera! Masuk melalui Gate G di kawasan selatan rumah ini!”
Lelaki yang berpakaian kemas serba hitam itu menarik lengan baju sebelah kanannya lalu mendekatkannya ke mulut. Sejurus tiba lengan baju itu di mulut, dia mula mengeluarkan suara yang sedikit tegang tapi jelas dan teratur yang di ulang kembali selepas selesai yang awal tadi.
“Agen 4m31, gunakan komputer riba itu untuk membantu mematahkan serangan itu.”
Sistem Keselamatan di Telisai telah dicerobohi oleh Virus Datacom 10010. Tanpa Sistem Keselamatan UNIQUE itu, segala kuasa jana di Stesen Setelit Bumi di Telisai akan cacat dan lansung tidak berfungsi. Kini, Virus itu hanya dapat dikawal buat sementara waktu saja.
“Siapa punya angkara semua ini?!”
Tidak ada yang berani bersuara ketika itu. Ini mesti kerja orang dalaman. Ada maklumat yang baru diterima menyatakan bahawa percikan api elektrik Striking Light itu meledak akibat pertemuan aliran arus elektrik kuasa positif dengan arus elektrik kuasa negatif yang digabungkan bersama gas Hydrogen. Manakala Virus Datacom 10010 disalurkan melalui UNIQUE Database System di kawasan utara Stesen Setelit Bumi Telisai.
“Tuan, CCTV tidak dapat membuktikan siapa punya angkara, kerana.”
“Kerana mereka telah memancarkan Gelombang Radiasi Inframerah untuk membakar sambungan wayar di dalam CCTV tersebut.”
“Bagaimana dengan pengawal keselamatan?”
“Mereka ketika itu dalam tukaran shift tuan.”
Pengawal keselamatan akan melakukan pertukaran shift pada setiap empat jam yang akan mengambil masa lima minit bagi satu transisi penukaran.
“Virus itu dapat di kawal?”
“Saya telah salurkan Healer B-98-34 ke dalam UNIQUE Database System tuan. Namun, ia cuma akan beroperasi selama tiga jam empat puluh tujuh minit dari sekarang.”
“Tuan, Virus itu dapat dihapuskan dengan Binary Digit. Tapi kita perlukan tujuh jam untuk memecahkan code tersebut untuk menghalang Virus itu dari terus membiak!”
“Kita tidak memiliki waktu sebanyak itu. Kita harus bertindak segera!”
“Agen 17m3, sila senaraikan Binary Digit itu segera ke sistem saya.”

Muat-turun maklumat...
Muat-turun sedia untuk digunakan!
Senarai Binary Digit bermula...

101001101100010010010110010101000100101001001010100001010101111
000100100101001001010010101001010100101010100101010101010101011
010101001100110101010101010101001011010101010010010101010100101
100101010101010101010100000010101010111000101010101001010001010
101010010100010100010101010101011111001010101010101010101010101
010010111010100101001001010100101010001010111001010101010001010
101001010101001001010100100101001010101001010100101010101010101
010101010000010010101001010101010101010101010010010100100101010
101100110101010101111010010101010101010010010010010101010111010
100101010101001010101010100101010101010101101110001010010101001
010010100101001010001010010100101010101010010010101010010100101
010100101001010010110010101010010100101010101001010101010010110
101010101010100111110010010101110001111000101010110100001111010
100100100101001010100101010010100101010100010111100101001010001
001001010100010101010010100101001010010101010100101010010101010
10010101010010010100...

Senarai berakhir...

“Baik, sekarang. Setiap digit adalah kod. Setiap kod mengandungi kepelbagaian digit. Sekarang, jika setiap digit adalah kod, itu bererti bahawa kita perlu membezakannya dengan kod yang lain, agar kita bertemu dengan penyelesaiannya.”
“Tuan, kalau kita tidak dapat selesaikan kod
ini kita akan dapat dua kesan yang kedua-duanya tidak menjamin keselamatan sistem kita!”
“Inilah masanya untuk kita membuktikan kepada mereka bahawa mereka salah dalam memngugurkar kita dari intitusi tersebut!”
“Tuan, kedengaran ketukan dari pintu tuan. Sediakan pil!”
“Baik, saya makan pil saya dulu.”
“!!!”
“Chi, bahapa kau kan? Bila tah kau kan turun makan ni?”
“!”
Agen-agen tidak kelihatan lagi.

Posted on 4:37 PTG

Bicara mu untuk-Nya

By Zaim Ridhwan (Munshi) a.k.a Kin Fariz di 4:37 PTG

Dari hajat yang tak kesampaian
Hingga membawa kepada misbah yang keterlaluan
Saat ketelanjuran menjiwai fikiran
Saat sang hati mengoda mengikut nafsuan
Saat genting hidup ini di tandukkan.

Bila bicara orang tua yang duduk di desa
Bila bicaranya ditegur oleh lelaki muda yang terlalu siuman dan elok rupanya
Maka saat itu akan hadir sebuah bicara suci
Terangkat kepala si muda
Terngaga melihat langit yang mula berbelah
Dan bintang yang bertaburan mula berguguran ke sisinya

Dari saat itu
Segala bacaan dan suara keinsafan dari hatinya
Tidak di dengar lagi oleh-Nya
Maka saat itu
Kakulah ia dari bicara
Bisulah ia dari bicara
Diamlah ia dari bicara

“Wahai Tuhan yang Maha Pengasih, ampunilah hamba-Mu”

Munshi

Asrama UBD
2007

Posted on 4:36 PTG

Dari Tangisan

By Zaim Ridhwan (Munshi) a.k.a Kin Fariz di 4:36 PTG

Yang mula semakin nyaring itu
Membangkitkan suatu magfirah fitrah arus jalur senandung anaknya
Maka langit yang pada mulanya cerah
Akan menjadi gelap dikerumuni oleh lalat-lalat hitam yang mula bergerak pantas
Makhluk yang berselendang dan berkain itu

Dari situ mulanya lagi
Teriakan yang tajam halus menyucuk telinga
Yang langsung tidak didengar oleh manusia yang pernah disusui
Lalu, senandung makhluk yang berselendang dan berkain itu
Yang mula dimakan lalat-lalat hitam
Menampakkan luka-luka pada mukanya serta sekalian tubuhnya yang mula terbujur kaku di pelimpangan

Lalu turun satu seru
Teriakan yang nyaring mula mengingari suasana, menyucuk
Halus pendengaran makhluk-makhluk yang bertelinga, menikam kasar manusia yang pernah meminum susunya
Yang jasadnya kini mula lumat ditindih batu-batu yang gugur dari langit-Nya

Nyata dunia kini disinari cahaya-cahaya radiasi kuning kemerah-merahan
Yang mula membakar kehijauan yang sudah sekian lama menukarkan gas-gas carbon dioksida kepada oksigin, yang kini mula terbakar hangus
Oleh radiasi dari sinar matahari

Keluh-kesah Sang Hawa pada anak-anak kecil yang beibun dengan paradiannya
Tidak dihiraukan, bila si anak lapar,
Berpalukkanlah si anak pada indung bininya yang berselendang dan berkain
Yang mula mengisis jamuran, baju-baju Si Adam yang
Bermandi paluh bakas besawah

Tapak-tapak kaki mula menghilangkan saduran cerita dari Arab-Parsi dan India
Yang dipunggut oleh Si Azrang!
Menghilangkan tanda-tanda ukiran pada kurpus-kurpus, dan
Daun-daun yang telah diukir
Dengan hati yang suci

Maka terdengarlah pesan dari makhluk yang berselendang dan berkain
Itu pada makhluk-makhluk kecil:
“wang, dang, sadang-sadangtah bemain ah,
tu bapa mu ah jagai, urut-urut” dalam masa mu
yang dikerumuni lalat-lalat hitam yang sudah
mula sedia untuk masuk ke dalam perut mu.

Munshi

Damai, no. 11
2007

Posted on 4:36 PTG

Hanya untuk Sebuah Karya

By Zaim Ridhwan (Munshi) a.k.a Kin Fariz di 4:36 PTG

Jari kanannya bergerak perlahan
memegang rapat pada sebatang pena
menelusuri laluan yang dijalani
mengukir berbaris kata dari hati
pada karya yang hampir jadi

dalam pada malam hari
jarinya terus tak ingkari
setiap ukiran yang baru jadi
dibasahi titisan air yang sikit-sikit menitik
hampir menghilangkan dakwat-dakwat hitam
yang masih belum kering

akal mula bertanya
apa saja yang tertulis di kertas?
yang terukir oleh sebuah pena?
yang hampir semuanya diarah oleh hati?
yang bila dilihat amat sebati?
dengan gerak
jari-jemari?

hanya pada sebuah karya
hati luka melafazkan kata
janji-janji yang terukir manis
sebuah rahsia yang terhiris
terus terukir
sebuah karya yang abadi

Munshi,
Dewan Kuliah,
Universiti Brunei Darussalam,
Ogos 2007

Posted on 4:29 PTG

Khazanah Sebuah Kerinduan

By Zaim Ridhwan (Munshi) a.k.a Kin Fariz di 4:29 PTG

Ku pasak sebuah rasa yang dalam
Ia berligar di pisuk jiwa
Menghayunkan kalbu ke sanubari
Mencecahkan rasa ke puncak rindu
Meraba-raba sebuah rindu
Di kala kejauhan.

Lingkaran firasat yang tak pernah diam
Mendetik halus dalam bayangan
Menghempas pulas lilitan ikatan
Hakikat sebenar sebuah kerinduan
Di kala kejauhan.

Hasrat mengakar mencengkam bumi
Duka meninggi mencecah ufuk
Dalam sayu ia berdiri
Kala Arjuna ingini Puteri
Berebut sebuah rasa kerinduan
Di kala kejauhan.

Munshi

Kota Batu,
Ogos 2007.

 

blogger templates | Make Money Online